
Pokok bunga mirip orkid mekar pelbagai warna menjadikannya unik di kawasan laman
IRIS adalah pokok untuk kawasan lembap yang bukan hanya cantik pada nama tetapi rupanya juga cukup memikat. Sejak kebelakangan ini sering menjadi tanaman pilihan penggemar seni hiasan laman dan pokok ini dikatakan mudah ditanam, malah pilihan yang tepat untuk menghias tepian kolam atau pancuran air di dalam laman.
Keunikan bunganya seakan rama-rama dan mirip orkid dengan pelbagai warna daripada jingga, kuning, ungu dan biru menjadikan iris tanaman yang seakan wajib menghias kawasan laman.
Kebanyakan kontraktor landskap akan mencadangkan iris sebagai tanaman tepian kolam atau kawasan lembap kerana ia cantik dan unik.
Selain sesuai dengan kelembapan, mudah hidup dan cantik, iris adalah tanaman yang sentiasa mahukan cahaya matahari. Namun, ia masih boleh hidup walaupun ditanam di dalam rumah.
Menurut pakar botani, iris sesuai ditanam antara Julai hingga Oktober, iaitu waktu kering tetapi suhu rendah dan sejuk. Sistem perparitan yang betul menjadi jaminan pokok iris mudah ditanam dan tidak menghadapi masalah untuk hidup.
Semua jenis tanah sesuai menjadi medium penanaman iris. Namun, kadar pH tanah perlulah antara 6.5 hingga 6.8. Bagi mencantikkan pokok gunakan saja tanah kompos atau campuran.
Jika anda menggunakan tanah kompos pastikan ia tidak terlalu banyak bahan hijau kerana ia boleh mengeluarkan nitrogen. Iris tidak memerlukan nitrogen yang banyak kerana ia boleh merosakkan akarnya.
Sesetengah pendapat menyatakan tambahkan sedikit pasir dalam tanah bagi mencantikkan pokok iris. Kadar yang sesuai adalah 30 peratus daripada keseluruhan tanah.
Baja yang disyorkan adalah baja kompos atau baja kimia tanpa nitrogen. Lebih sesuai baja yang kaya dengan fosfat seperti tulang ikan dan cengkerang.
Menanam iris mudah kerana pokok ini menggunakan umbi dan tanam tidak terlalu dalam. Jika anda menanamnya di dalam lumpur, hanya dengan menekannya masuk ke dalam saja.
Seeloknya tanam pokok iris dalam kelompok (tiga atau empat pokok dalam satu kumpulan) dan jarakkan satu kelompok dua jengkal dengan kumpulan yang lain.
Selepas menanam pokok ini pastikan ia disiram dan seeloknya rekodkan nama mengikut spesies supaya mudah apabila tetamu menanyakan nama bunga iris anda.
Iris mempunyai antara 200 hingga 300 spesies dan mendapat namanya daripada perkataan pelangi dalam bahasa Greek, menggambarkan bunga ini mempunyai pelbagai warna dan bentuk.
Selain iris, ia juga dikenali sebagai Scorpiris daripada keluarga Belamcanda (blackberry lilies), Hermodactylus (Snake's-head iris), Neomarica (walking irises) and Pardanthopsis.
Selain untuk menghias kolam, iris juga cantik menjadi tanaman sederhana untuk menghias ruang siar kaki atau digabungkan bersama pokok berdaun lain di sudut laman atau tepian pagar.
FAKTA: Baja
# Baja iris enam hingga lapan minggu selepas berbunga.
# Iris dikenali sebagai tanaman tahan lasak dan tidak memerlukan jagaan rapi, jadi ia sesuai untuk mereka yang sibuk.
# Penjagaan yang mudah untuk iris, hanya buang daun yang gugur dan layu. Selepas berbunga, potong batang sejengkal daripada akar untuk menggalakkan pertumbuhan daun dan bunga baru.
# Jika terlalu rapat dan banyak iris biasanya tidak akan berbunga. Jadi alihkan pokok untuk menjarakkannya. Menjarakkan pokok juga baik bagi mengelakkan penyakit atau akar pokok mati.
# Seeloknya selepas enam hingga lapan minggu berbunga, alih dan pecah-pecahkan kumpulan pokok bagi membiakkan pokok.